Saturday, 15 June 2013

HAMSTER COMEL :D

Ada tak antara sahabat yang baca entri ni yang ada bela hamster? Hamster comel kan? Kecik, bulat, gemuk, comel.. gemuk-gemuk dia pun, comel tau.. Saya suka sangat dengan hamster. Housemate saya kat sini ada bela hamster (walaupun tak dibenarkan ada haiwan peliharaan kat hostel.. hehe..). Saya selalu jugak tengok hamster tu main-main dalam rumah dia yang comel tu..


Sebelum ni ada dua ekor tau.. Tapi sebab yang lagi sekor tu lari masa nak bagi mandi, so tinggal sekor ja la sekarang ni. Kesian dia sorang-sorang. Tapi si comel hamster ni tetap jugak tak keseorangan sebab kami semua satu rumah selalu temankan dia, cakap ngan dia, bagi makan dia.. Selalu jugak teman dia tidur.. Tengok gambar dia tidur.. Comel kan?


Hamster tergolong dalam spesies tikus jugak la kan? Sahabat saya cakap, hamster pun kadang-kadang bahaya jugak sebab dia kan spesies tikus.. Air kencing tikus kan bahaya. Tapi saya tak pasti lah pulak dengan statement tu. Takpa, lain kali mungkin kita boleh cakap pasal ni dalam entri yang lain pulak. Kali ni, alang-alang dah cakap pasal tikus, jadi saya pun nak kongsi satu kisah tentang sekor tikus ni. Satu kisah yang saya dan sahabat semua yang membaca ni boleh ambil pengajaran. InsyaAllah.. Mungkin ada antara sahabat pernah dengar cerita ni sebab saya ambil cerita ni dari satu sumber yang saya sendiri pun dah tak berapa ingat dari mana. Tapi takpa, asalkan kita semua boleh ambil ikhtibar daripadanya. Jom..

Cerita dia macam ni. Dalam sebuah rumah, ada sepasang suami isteri. Si suami tu seorang petani, isteri tu pulak seorang suri rumah. Dalam rumah mereka banyak sangat tikus yang selalu mencuri makanan mereka. Memandangkan si suami pula menyimpan banyak hasil taninya di rumah, jadi mereka pun memasang perangkap tikus di dalam rumah mereka.

Pada suatu malam yang sunyi, Si Tikus pun keluar dari rumah kecilnya di belakang almari, menuju ke dalam ruangan dapur rumah. Masa tu suami dan isteri tu sedang tidur. Jadi, Si Tikus pun fikir dia dapat enjoy lah malam tu. Tiba-tiba, sesampainya Si Tikus di dapur, dia ternampak satu perangkap tikus di atas lantai. Si Tikus panik. Dia pun cepat berlari keluar sambil menjerit berkali-kali. “Ada perangkap tikus dalam rumah!”.

Si Tikus berasa sangat takut masa tu. Untung ada Si Kokok di tepi rumah. Dia terus pergi kepada Si Kokok. 

“Si Kokok, ada perangkap tikus dalam rumah. Aku takut.” Si Tikus meluahkan rasa takutnya kepada Si Kokok.

“Ada aku kesah? Takda kaitan pun dengan aku.” Balas Si Kokok.

Si Tikus sebak mendengar jawapan Si Kokok. Sampai hati Si Kokok cakap macam tu. Si Tikus pun berlari meninggalkan Si Kokok dengan hati yang terluka. Tiba-tiba, Si Tikus ternampak pula Si Janggut yang sedang meragut rumput di dalam kandangnya. Si Tikus pun menerpa Si Janggut.

“Si Janggut, ada perangkap tikus dalam rumah. Aku takut.” Kata Si Tikus.

“Jangan takut Si Tikus. Kau janganlah pergi dekat dengan perangkap tu. InsyaAllah kau takkan kena perangkap tu. Mintalah perlindungan dari Allah” Balas Si Janggut kepada Si Tikus.

“Terima kasih Si Janggut. Terima kasih sebab faham aku.” Kata Si Tikus kepada Si Janggut dengan hati yang sedikit terubat.

Sejuk hati Si Tikus mendengar kata-kata Si Janggut tu. Baik betul Si Janggut. Tapi Si Tikus tetap berasa takut lagi. Mungkin trauma agaknya. Ye lah, sebelum ni dah banyak ahli keluarga Si Tikus meninggal angkara perangkap tikus tu.

Si Tikus terus berlari hinggalah dia ternampak pula Pak Lembu yang sedang mengelamun di bawah pokok. Dia terus menerpa Pak Lembu. Dengan harapan Pak Lembu akan mendengar luahan hatinya seperti Si Janggut.

“Pak Lembu, ada perangkap tikus dalam rumah. Saya takut, Pak Lembu.” Kata Si Tikus kepada Pak Lembu.

“Kacau betul la kau ni. Aku malas la nak ambil tahu. Setakat perangkap tikus tu, aku pijak dengan kaki aku ni pun, boleh pecah tau. Dah la, pergi balik la kau. Aku nak berehat.” Balas Pak Lembu.

Hancur luluh hati Si Tikus mendengar kata-kata Pak Lembu. Sampai hati Pak Lembu tu. Si Tikus pun balik ke rumahnya. Dia ingat pesan Si Janggut yang menyuruhnya menjauhi perangkap tikus itu. Dia kini hanya berserah kepada Allah. Jadi, dia pun terus tidur hinggalah dia terjaga pada pagi keesokan harinya sebab terdengar bunyi seperti perangkap tikus itu sudah terkena. “Pap!”

Kemudian, dia terdengar pula bunyi tapak kaki. Si isteri rupa-rupanya yang berjalan ke arah dapur untuk melihat perangkap tikus yang pada sangkaannya sudah mengena pada tikus.

Tetapi, alangkah terkejutnya dia apabila melihat seekor ular yang terkena perangkap itu. Si isteri pun menjerit. Tanpa dia sempat membunuh ular itu, ular itu terlebih dahulu yang mematuk kakinya. Si isteri pun pengsan. Semua itu telah disaksikan sendiri oleh Si Tikus dari tepi pintu rumahnya di belakang almari di dapur.

Apabila suaminya pulang, si suami pun segera membawa isterinya ke hospital. Pulang dari hospital beberapa hari kemudian, si isteri masih lagi tidak sihat. Dia meminta suaminya memasak sup ayam. 

Maka, si suami pun menyembelih ayam di tepi rumah itu untuk dijadikan sup. Si Tikus pilu melihat Si Kokok disembelih. Namun, si isteri masih lagi sakit, lalu si suami pun memasak pula kambing untuk isterinya. Si Tikus berasa sangat sedih kerana Si Janggut pun menjadi korban walaupun Si Janggut tu baik dengan Si Tikus. Tapi, apakan daya, ajalnya sudah sampai.

Seminggu kemudian, keadaan si isteri masih lagi sama. Dia masih sakit. Si suami bercadang nak buat kenduri untuk orang ramai untuk doakan isterinya cepat sembuh. Maka, si suami pun menyembelih seekor lembu yang ada di belakang rumahnya untuk dijadikan juadah kenduri. Sekali lagi Si Tikus sayu melihat Pak Lembu disembelih. Walaupun Si Tikus terguris hati dengan kata-kata Pak Lembu kepadanya, tapi Si Tikus tetap berasa sedih dan kasihan terhadapnya. Seminggu kemudian, akhirnya si isteri pun sembuh seperti biasa.




 Ok, sekarang mari kita tengok balik apa yang boleh kita dapat dari cerita tu. Walaupun ceritanya simple dan mungkin ada yang berpendapat cerita ini agak mengarut mungkin, tapi insyaAllah kita boleh ambil sedikit pengajaran daripadanya. Sahabat dapat tak apa-apa pengajaran dari cerita tu? Mari sama-sama kita digest balik.

Pengajaran yang paling mudah sekali yang kita dapat lihat ialah sentiasalah mendengar masalah atau luahan hati orang lain di saat mereka memerlukan pendengar yang setia. Walaupun kita tidak dapat menolong mereka, tapi cubalah untuk mendengar dan menjadi pendengar yang setia kepada mereka. Tapi kalau kita mampu untuk menolongnya, itu lagi bagus.

Saya tahu, kadang-kadang apabila kita menceritakan masalah kita kepada orang lain, ada antara mereka yang seakan tidak ambil tahu atau langsung tidak mahu meluangkan masa untuk mendengar seperti apa yang telah dilakukan oleh Si Kokok dan Pak Lembu dalam cerita tu. Kadang-kadang apabila kita memerlukan seseorang untuk bercerita, mereka tiada untuk kita. Ataupun mereka juga ada hal mereka sendiri yang jauh lebih penting dari kita.

Tapi, ingatlah, apabila tiada sesiapa yang dapat mendengar masalah kita ataupun tiada sesiapa yang memahami kita, janganlah sesekali merajuk atau berasa terkilan dengan mereka ya, sahabat. Kita juga harus fikir mungkin mereka ada hal lain ataupun mereka juga mempunyai masalah mereka sendiri. Maka, apabila terjadi begini, kepada siapa harus kita kembali? Kepada siapa harus kita mengadu? Kepada siapa harus kita memohon perlindungan dan pertolongan? Sahabat semua pasti tahu kan jawapannya? Ya, tepat sekali. Allah SWT lah yang patut kita kembali, yang patut kita mengadu , yang harus kita pohon perlindungan dan kepada Allah kita harus memohon pertolongan.

Di sini, bukanlah saya nak cakap yang orang lain tidak boleh diharapkan untuk menjadi pendengar kita dan menolong kita, tapi apa yang saya cuba katakan ialah seperti yang kita tahu, manusia mempunyai batas dalam kemampuan mereka untuk melayan setiap dari segala pengaduan kita. Tetapi tidak pula Allah yang tidak pernah lena dan sentiasa mendengar apa yang kita adukan kepadaNya.

Jadilah seperti Si Tikus yang akhirnya meminta pertolongan daripada Allah setelah kecewa dengan jawapan dari Pak Lembu. Namun, dia tetap mendengar kata-kata Si Janggut untuk memohon perlindungan dari Allah. Maka, tidak salah jika kita juga mencontohi tindakan Si Tikus tu. Jadilah seperti Si Tikus yang walaupun hatinya hancur pada mulanya dengan kata-kata Si Kokok tapi tetap tidak putus asa untuk mencari pendengar yang lain bagi mendengar luahan hatinya saat itu. Walaupun dia kecewa dengan Si Kokok, tapi dia tidak sesekali lemah dan jatuh malah langsung sesekali tidak patah semangat.

Saya faham bagaimana rasa terlukanya hati apabila luahan kita seolah-olah tidak difahami dan tidak diambil peduli  malah tidak difahami oleh orang yang kita harapkan untuk mendengar masalah kita. Tambahan pula, saya ni bukanlah seorang peluah perasaan yang baik. Agaknya mungkin sebab itu saya menjadi agak pendiam. Saya lebih suka mendengar daripada meluahkan. Mungkin ada antara sahabat di luar sana yang sama seperti saya juga?

Tidak mengapa, jika rasa seperti luahan sahabat tidak diendahkan oleh mereka yang mendengar atau mungkin sahabat tiada sesiapa untuk mengadu, maka bersabarlah dan mengadulah kepada Allah. InsyaAllah Dia akan mendengar dan menolong kita.

"Maka, ingatlah kepadaku. Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaku dan janganlah kamu ingkar kepadaku. Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah bersama dengan orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah : ayat 152-153 )


Jadi, sama-samalah  kita amalkan sikap Si Tikus dan Si Janggut tadi. Dan janganlah sesekali kita ikut perangai Si Kokok dan Pak Lembu yang pentingkan diri sendiri. Insya Allah.. :D



0 comments: